Pencetus Alahan Makanan



memandangkan Idlan senang mengalami alergi, saya post artikel ini untuk rujukan saya nanti...



Oleh Profesor Madya Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, Pakar Imunologi Pediatrik, dan Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan


Kanak-kanak kecil, terutama yang di bawah usia empat tahun, cenderung mendapat alahan (alergi) makanan. Seramai 5-8% kanak-kanak di bawah usia tiga tahun berkemungkinan mempunyai alahan makanan. Sesetengah punca alahan yang lazim dalam kanak-kanak dan bayi adalah susu, telur (terutamanya putih telur), kacang soya, gandum, kacang tanah dan kacang lain (seperti walnut, gajus), ikan serta makanan laut. Ibu bapa harus ingat dan berwaspada apabila mula memberi makanan pelengkap, dan perlu mengawasi kemunculan gejala setiap kali memperkenalkan makanan baru kepada anak mereka.

Gejala yang timbul daripada alahan makanan adalah kurang menyenangkan dan boleh timbul dalam masa beberapa minit hingga dua jam selepas dimakan atau terdedah melalui sentuhan atau bau. Ini termasuk ruam, nafas berbunyi, bengkak bibir dan lidah, bersin, muntah serta sakit abdomen. Dalam kes yang lebih teruk, kejutan anafilaktik boleh berlaku dan mengakibatkan kematian.


Prinsip Makanan

Kepelbagaian makanan – kebanyakannya harus segar dan dimasak di rumah – dapat memastikan si manja mendapat segala nutrien, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk membesar dan menjadi bijak pandai.
Apakah Risiko Anak Anda?
Biasanya, alahan boleh diwarisi tetapi mungkin menyebabkan tindak balas yang berbeza.
• Jika KEDUA-DUA ibu bapa mempunyai masalah alahan: 40 -60%
• Jika SEORANG daripada ibu bapa mempunyai masalah alahan: 20-40%
• Jika KEDUA-DUA ibu bapa tidak mempunyai masalah alahan: 5-15%


Mengurangkan Risiko


Penyusuan badan secara eksklusif selama enam bulan. Menyusu badan secara eksklusif sehingga bayi berusia enam bulan akan dapat mengurangkan risiko untuk dermatitis atopik dan alahan susu dalam dua tahun pertama hidupnya.


Penggunaan rumusan hipoalergenik apabila tidak menyusu badan. Rumusan hipoalergenik mengandungi protein susu yang telah dipecah menjadi protein yang lebih kecil.

Perkenalkan makanan baru satu demi satu. Dengan memperkenalkan satu sahaja makanan baru setiap minggu, anda boleh mengenalpasti jenis makanan yang mungkin akan mencetus tindak balas alahan anak anda. Mulakan dengan makanan yang paling kurang alergenik seperti bijirin beras. Makanan yang lebih alergenik seperti kacang, makanan laut dan telur boleh diperkenalkan selepas kanak-kanak memasuki usia setahun.

Mengurus Alahan – Sekarang dan Seterusnya

Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai alahan makanan, simpan satu rekod mengenai makanan yang dia makan dan tindak balas yang berlaku.
Apabila kanak-kanak semakin membesar dan sistem imun telah berkembang, anak anda mungkin tidak lagi akan alah terhadap sesetengah makanan seperti dahulu. Jika demikian, anda boleh mencuba semula makanan tersebut di kemudian hari, tetapi ingatlah bahawa ada juga alahan yang akan berterusan seumur hidup.

Comments

iPai said…
info yang menarik .. terima kasih !!!