kanser serviks...sudahkah anda melakukan ujian HPV Roche?

DI seluruh dunia, hampir 500,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks setiap tahun dan separuh daripada mereka meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Sebahagian besar daripada kematian itu dilaporkan di Asia yang mewakili 52 peratus daripada kes kanser serviks di seluruh dunia.

Kanser serviks ialah kanser kedua paling umum dalam kalangan wanita Malaysia selepas kanser payudara. Barah pangkal rahim itu meragut nyawa lebih daripada 600 wanita di seluruh negara setiap tahun iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar di negara seperti United Kingdom dan Belanda. Negara juga menanggung perbelanjaan kira-kira RM52 juta setahun untuk rawatan penyakit tersebut.

Buat masa ini, ujian paling umum bagi kanser serviks ialah pap smear. Namun begitu, satu kajian yang dilakukan baru-baru ini mendapati bahawa seorang daripada 10 wanita yang diuji positif untuk HPV 16 atau 18 menggunakan ujian HPV Roche, mengalami prakanser serviks meskipun keputusan pap smear mereka normal.

HPV merujuk kepada virus papilloma manusia. Kanser serviks juga disebabkan oleh jangkitan terus-menerus dari HPV jenis onkogenik iaitu yang berpotensi menyebabkan kanser. Langkah mengenal pasti kanser serviks pada peringkat awal adalah amat kritikal kerana kadar penyembuhan bagi prakanser ialah 98 peratus. Bagaimanapun, apabila penyakit telah menular menjadi kanser dan merebak kepada organ lain, tidak sampai 20 peratus wanita dapat hidup lebih lama daripada lima tahun.

Ujian HPV Roche

Ujian baharu daripada Roche Diagnostics, iaitu ujian HPV Roche (cobas® 4800 HPV test) kini boleh didapati di Malaysia. Ia mengesan kehadiran HPV yang menyebabkan lebih 99 peratus daripada semua kes kanser serviks. Secara tidak langsung, ia membantu mengenal pasti wanita yang berisiko lebih tinggi. Secara lebih khusus, ujian itu mengenal pasti dua jenis virus penyebab risiko paling tinggi iaitu HPV 16 dan 18. Setiap satunya dikenal pasti menjadi punca bagi 70 peratus daripada kes.

Terdapat lebih 100 jenis HPV. Sebanyak 14 jenis daripadanya dianggap berisiko tinggi untuk menular menjadi kanser serviks. Daripada 14 ini, dua jenis mempunyai kebarangkalian paling tinggi mengakibatkan kanser serviks, iaitu HPV 16 dan 18. Wanita dengan HPV 16 atau 18 berisiko 35 kali ganda lebih berkemungkinan menghidap kanser serviks berbanding mereka yang tanpa HPV.

UJIAN pap smear tidak dapat mengesan kehadiran HPV 16 dan 18.

 


 

Ujian HPV Roche baharu yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) itu mengenal pasti HPV 16 dan 18 secara berasingan dan pada masa yang sama mengesan 12 jenis HPV risiko tinggi dalam keputusan terkumpul.

"HPV ialah jangkitan yang sangat umum. Sebanyak 75 peratus daripada wanita akan dijangkiti pada satu peringkat dalam kehidupan mereka.

"Dengan pelancaran Ujian HPV Roche, kita dapat mengenal pasti wanita dengan risiko HPV paling tinggi untuk menghidap kanser serviks. Ujian ini amat dihargai kerana ia membolehkan doktor merawat pesakit dengan sewajarnya," kata Jeffrey Chin, Pengurus Besar Roche Diagnostics Malaysia.

Maklumat tepat

Dalam pada itu, Ketua dan Pakar Runding Patologi, Jabatan Patologi, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Kunaseegaran Ragavanaidu memberitahu, ujian pap smear merupakan cara lazim untuk memeriksa kanser serviks tetapi keputusannya tidak selalu memberikan maklumat yang tepat.

"Ujian HPV Roche mengesan DNA virus dan lebih penting, ia mampu mengesan HPV 16 dan 18, yang tidak dapat dilakukan oleh pap smear.

"Memandangkan kadar kanser serviks dijangka meningkat di Malaysia, kami perlu mengenal pasti individu yang menghadapi risiko kanser serviks secara lebih awal dan tepat demi memastikan penyakit diuruskan dengan baik," katanya.

Tambah Kunaseegaran, ujian HPV Roche membuka lembaran baharu dalam kemajuan pengesanan dan pencegahan kanser.

HPV menyebabkan pertumbuhan sel luar biasa pada kulit, termasuk di bahagian sensitif alat kelamin.

 


 

Keputusan objektif yang dihasilkan boleh memberikan maklumat penting kepada pakar penjagaan kesihatan untuk menilai risiko pesakit yang menghidap kanser serviks.

"Mereka kemudian boleh membuat keputusan awal termasuk cara terbaik untuk merawat pesakit, seterusnya membantu memastikan hasil rawatan yang sebaik mungkin.

"Kami teruja untuk memikirkan bahawa kita kini semakin hampir kepada matlamat untuk membasmi kanser serviks," katanya.

Lazimnya, jangkitan HPV tidak menunjukkan sebarang gejala, justeru adalah penting untuk menjalani ujian HPV 16 dan 18 dari semasa ke semasa.Ujian boleh dilakukan oleh doktor am atau pakar ginekologi dan boleh dilaksanakan dengan cara yang sama seperti pap smear biasa.

"Oleh kerana kanser serviks boleh dicegah, penyakit ini tidak harus meragut terlalu banyak nyawa di sini setiap tahun.

"Di Hospital Tentera, kami membuat keputusan untuk menggunakan ujian tersebut bagi pemeriksaan utama dan saya menyeru pihak lain menggunakan pendekatan dan teknologi ini supaya kanser serviks bukan sahaja boleh diuruskan dengan lebih baik, tetapi dicegah sama sekali," rumus Dr. Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr. Abdul Razak, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia.


 

p.s: ketika artikel ini dipublish, saya dimaklumkan seorang staf di UPM telah meninggal dunia kerana kanser rahim… innalillah….sama2 kita doakan arwah… al-fatihah

Comments